Belajar berkesan dengan peta minda
Peta minda boleh membantu anda untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran anda untuk mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.
Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri anda.
Antaranya, anda perlu memikirkan tentang maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan anda.
Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan anda.
Bolehlah anda sifatkan anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.
Peta minda itu juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri.
Antaranya, anda perlu berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.
Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut.
Hal ini dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.
Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.
Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.
Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.
Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.
Lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.
Anda telah ditunjukkan mengenai keperluan keseimbangan antara otak kiri dan otak kanan dalam rencana-rencana yang terdahulu.
Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.
Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.
Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.
Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.
Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.
Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.
Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.
Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. DDi samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.
Jom Masuk U 2012
Karnival Pengajian Tinggi Negara adalah program outreach tahunan yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2005. Mulai tahun 2007 telah dikenali sebagai “Program Pendidikan KPT Bersama Rakyat” dan kini melalui penjenamaan semula disebut dengan nama “Karnival Pengajian Tinggi Negara”.
Tagline “JOM MASUK U” telah digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi mulai tahun 2010.
Karnival Pengajian Tinggi Negara – Jom Masuk U 2012 ini disasarkan menjadi Pusat Sehenti mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan SPM dan setaraf serta STPM dan setaraf di peringkat pengajian program Asasi, Diploma, Ijazah Pertama termasuk Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia kepada pemohon, pelajar, ibubapa, guru dan komuniti setempat.
Ini akan memudahkan mereka membuat permohonan melalui UPU kemasukan ke IPTA, Politeknik, TEVT dan ILKA bagi sesi akademik 2012/2013.
Aktiviti Karnival Jom Masuk U 2012
Di antara aktiviti yang dianjurkan dalam Karnival Pengajian Tinggi Negara – Jom Masuk U ini adalah pameran pendidikan, seminar peluang pendidikan tinggi negara, seminar sehari bersama pemimpin masyarakat, cabutan bertuah, cabutan perdana, kuiz, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, semakan syarat khas kelayakan program, pendaftaran Sahabat UPU dan liputan radio secara langsung.
Pada tahun 2012 ini disasarkan lebih 400,000 orang dijangka hadir, lebih tinggi daripada tahun 2011 di 11 lokasi dari bulan Januari sehingga awal April.
Lokasi Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U 2012
Karvinal Jom Masuk U 2012 akan berlangsung seperti berikut;
Tarikh | Lokasi |
14 – 15 Januari | Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang |
28 – 29 Januari | Terengganu Trade Centre, Terengganu |
4 – 5 Februari | Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah |
11 –12 Februari | Suria Sabah Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah |
18 – 19 Februari | Sunway Convention Centre, Seberang Jaya, Pulau Pinang |
25 – 26 Februari | Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan |
3 – 4 Mac | Port Dickson, Negeri Sembilan |
10 – 11 Mac | Permata Exhibition Hall, Kuching, Sarawak |
17 – 18 Mac | Kuala Kangsar, Perak |
24 – 25 Mac | PERSADA, Johor Bahru, Johor |
31 Mac – 1 April | MINES International Exhibition Centre, Seri Kembangan, Selangor |
Tarikh dan lokasi di atas adalah tertakluk kepada pindaan. Masuk adalah percuma. Secara amnya karnival ini bermula daripada pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Pameran Pendidikan
Pameran pendidikan adalah aktiviti utama Karnival Pengajian Tinggi Negara – Jom Masuk U. Di antara organisasi yang menyertai pameran ini adalah 20 IPTA, 100 IPTS terpilih, Bahagian dan Agensi di Kementerian Pengajian Tinggi – Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Sektor Pengurusan IPS, Bahagian Biasiswa, Bahagian Sukan, Unit Komunikasi Korporat, Perbadanan Tabung Pendidikan Negara dan Malaysian Qualification Agency.
Sementara itu Bahagian dan Agensi di Kementerian Pelajaran Malaysia – Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Bahagian Matrikulasi, Bahagian Pendidikan Guru, Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri.
Di samping itu Yayasan Negeri, agensi pembiayaan pendidikan dan lain.lain-lain agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dengan pendidikan tinggi juga turut serta. Di antaranya Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Belia dan Sukan – IKBN, Kementerian Sumber Manusia – JTM, Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani – NATC, Jabatan Pembangunan Kemahiran – KSM, Jabatan Pertauliahan dan Kemahiran Lanjutan – CIAST, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kesihatan, Unit Pusat Institusi MARA dan Majlis Amanah Rakyat.
Pameran Jom Masuk U ini akan memberi peluang pengunjung mengemukakan pertanyaan kepada wakil universiti dan kolej bagi memastikan masing-masing membuat pilihan tepat program pengajian yang bakal diikuti.
Maklumat
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Karnival Pengajian Tinggi Negara – JOM MASUK U 2012 ini sila hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Aras 4, No.2 Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62200 Putrajaya. Talian Am 03-8870 6755/ 03-8870 6766, Helpline UPU 03-8870 6777, Hot Line UPU 03-8870 6767, Kaunter KPT UPU 03-8870 6778 atau Faks 03-8870 6864 atau e-mel upu@mohe.gov.my
TIPS BELAJAR SEMASA CUTI SEKOLAH
Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan bagi sesi 2011. Cuti sekolah tiba lagi!! Murid-murid bersorak riang kerana mereka akan bercuti panjang selama sebulan.
Justeru itu, saya kongsikan bersama adik-adik beberapa tip belajar semasa cuti sekolah agar anda tidak menghabiskan masa cuti dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan bermanfaat.
Perlu diingatkan di sini, tip ini sangat berguna kepada pelajar-pelajar SMK Kelapa Sawit yang bakal menduduki peperiksaan penting pada tahun hadapan iaitu peperiksaan PMR dan SPM sebagai persediaan awal sebelum masuknya sesi baru persekolahan.
Terdapat beberapa tip yang boleh anda amalkan semasa cuti sekolah ini. Antaranya ialah :
1. Mengamalkan prinsip belajar “sedikit demi sedikit”
Belajar dalam jangka masa yang singkat, tetapi kerap dan berterusan. Contohnya pada musim cuti ini anda buat latihan matematik selama 30 minit dan ulangkaji atau buat latihan bahasa Inggeris selama satu jam setiap pagi.
2. Siapkan semua kerja sekolah yang diberikan
Saya percaya sebelum anda cuti, guru-guru anda telah memberi kerja sekolah untuk disiapkan pada waktu cuti ini. Oleh itu, jangan tangguh lagi!!! Jika tidak mampu menyiapkannya sekali gus dalam masa yang singkat, buatlah kerja itu sedikit demi sedikit sepanjang minggu pertama cuti sekolah. Sebaiknya anda buatkan jadual waktu belajar.
3. Menyemak nota-nota
Jangan lupa untuk menyemak nota-nota anda setiap hari. Jika terdapat nota yang tidak lengkap, anda harus kemaskini dengan segera. Anda juga boleh merujuk kepada nota-nota kawan yang telah lengkap atau merujuk kepada buku rujukan. Apabila nota anda sudah lengkap, ini memudahkan anda untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan pada tahun hadapan.
4. Menjawab soalan berformat PMR dan SPM
Ambillah kesempatan pada musim cuti ini dengan membiasakan diri anda dengan menjawab soalan-soalan yang berformat PMR dan SPM. Banyakkan menjawab set soalan berformat peperiksaan tersebut. Antara set soalan yang boleh anda jawab ialah koleksi soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Bertanyalah pada kekawan atau layari laman web untuk mendapatkan set-set soalan tersebut.
5. Tubuhkan kumpulan belajar
Banyak faedah apabila belajar secara berkumpulan. Antaranya ialah boleh berkongsi idea dan maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Selain itu, anda juga boleh melakukan perbincangan dan membuat nota ringkas mengikut topik yang telah ditetapkan.
6. Membaca bahan bacaan tambahan
Anda boleh menggunakan masa terluang semasa cuti sekolah ini dengan membaca bahan-bahan bacaan tambahan yang berbentuk ilmiah. Antaranya ialah majalah, surat khabar, buku-buku berbentuk motivasi dan sebagainya.
Akhir kalam dari saya semoga anda menggunakan masa cuti sekolah ini sebaik mungkin. Jangan membazirkan masa anda dengan melepak, berkunjung ke pusat-pusat game dan sebagainya. Gunakan masa itu untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat kepada diri anda. Semoga anda berjaya pada masa akan datang.
“SELAMAT BERCUTI……………….”
Artikel ini dipetik dari http://ibnismail.wordpress.com